Berita SMKSJ


Dec 13, 2013

Hebahan Keputusan PMR 2013

Keputusan PMR 2013 akan diumumkan pada 19 Disember 2013. Sehubungan dengan itu, semua calon PMR SMK Seberang Jaya pada tahun ini boleh ke sekolah untuk mengambil slip keputusan dengan berpakaian seragam sekolah.

Pengesahan Pendaftaran dan Rayuan Tukar Sekolah Tg 1 dan Tg Peralihan

Pada hari ini, 12 Disember 2013 berlangsung program pengesahan pelajar Tg 1 dan Tg Peralihan SMK Seberang Jaya bagi sesi 2014. Jumlah pelajar yang ditempatkan di SMK Seberang Jaya seramai 179 murid Tg 1 untuk 6 kelas dan 35 murid Tg Peralihan untuk 1 kelas. Program bermula jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang.

Nov 9, 2013

Mesyuarat Guru SMK Seberang Jaya - Budaya Tutup Sekolah

Mesyuarat guru SMK Seberang Jaya akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh : 11 November 2013 (Isnin)
Tempat : Bilik Seminar SMK Seberang Jaya

Semua guru SMK Seberang Jaya diwajibkan hadir.

Selamat Menghadapi Peperiksaan

Selamat menghadapi peperiksaan kepada semua pelajar SMK Seberang Jaya yang menjadi calon SPM dan STPM bagi tahun 2013 ini. Semoga anda semua dapat menjawab dengan tenang dan seterusnya berjaya dalam keputusannya nanti.

Oct 2, 2013

PMR 2013

Sep 17, 2013

Selamat Menyambut Hari Malaysia

Selamat Hari Malaysia kepada semua warga Malaysia.


Sep 9, 2013

10000 Langkah Peringkat SMK Seberang Jaya

Pada 8 September 2013 telah diadakan program berjalan 10000 Langkah peringkat SMK Seberang Jaya. Acara diketuai oleh Puan Balkhis, Pengetua SMK Seberang Jaya diikuti oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Ahmad Zaki dan turut serta ialah YDP PIBG SMK Seberang Jaya, Encik Zainal Abidin.

Sep 4, 2013

Hari Kemerdekaan Negara ke 56

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Negara kita yang ke 56, dengan moto "Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku". Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !

Aug 26, 2013

Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan 2013

Pada 19 Ogos telah berlangsung Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat SMK Seberang Jaya bagi tahun 2013. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Puan Balkhis Abdul Rahim, Pengetua SMK Seberang Jaya. Antara acara yang diadakan ialah persembahan tarian, nyanyian koir dan persembahan sketsa. Majlis disudahi dengan nyanyian beramai-ramai lagu Jalur Gemilang. Semoga dengan majlis ini dapat memupuk kecintaan terhadap negara dalam diri semua warga SMK Seberang Jaya.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri


Aug 4, 2013

Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2013

Pada 3 Ogos 2013 telah berlangsung Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar SMK Seberang Jaya tahun 2013. Majlis ini diadakan sebagai pengiktirafan kecemerlangan pelajar yang telah berjaya dalam akademik di SMK Seberang Jaya serta menjadi pendorong untuk mereka terus berjaya. Acara dimulakan dengan nyanyian rasmi lagu Negaraku dan Negeri Pulau Pinang. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengetua SMK Seberang Jaya, Puan Balkhis Abdul Rahim diikuti oleh YDP PIBG SMK Seberang Jaya, En Zainal Abidin. Majlis ini dirasmikan oleh Encik Rosman Ahmad, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Seberang Jaya. Seramai 129 pelajar menerima sijil kecemerlangan masing-masing yang disampaikan dalam tiga sesi penyampaian. Majlis juga turut diserikan lagi dengan persembahan yang disampaikan oleh ahli-ahli Kelab Seni Budaya SMK Seberang Jaya.

Majlis Khatam Al Quran

Pada 25 Julai 2013 belangsung Majlis Khatam Al Quran dan juga Majlis Berbuka peringkat SMK Seberang Jaya. Majlis yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam diadakan di Bilik Surau Blok B SMK Seberang Jaya bertujuan untuk meraikan seramai 80 orang pelajar yang telah khatam Al Quran. Majlis ini diadakan dengan bersempena Hari Nuzul Quran yang merupakan hari bermula turunnya Al Quran. Antara acara yang diadakan ialah Bacaan Surah Yaasin dan Khatam Al Quran serta penyampaian sumbangan saguhati kepada peserta-peserta tadarus yang dijalankan sepanjang bulan Ramadhan. Ceramah Aman Palestin turut diadakan untuk dijadikan iktibar kepada semua para guru dan pelajar SMK Seberang Jaya dalam membentuk ukhuwwah di antara semua umat Islam.

Jul 19, 2013

Program Top Scorer dan Polus

Pada 17 hingga 18 Julai 2013 berlangsung Pogram Top Scorer dan Polus bagi pelajar-pelajar yang menjadi calon SPM 2013. Program ini diadakan berasingan di mana Program Top Scorer diadakan pada 17 Julai 2013 manakala Program Polus diadakan pada 18 Julai 2013 di Dewan Seroja SMK Seberang Jaya. Program Top Scorer untuk meningkat prestasi pelajar-pelajar calon SPM 2013 agar mencapai keputusan yang lebih baik daripada keputusan semasa. Manakala Program Polus adalah untuk pelajar-pelajar yang berpotensi lulus dalam setiap matapelajaran yang diambil. Semoga hasil daripada program ini dapat memberikan gambaran kepada para pelajar untuk meningkatkan diri dan seterusnya mencapai keputusan yang baik.

Pelancaran Hari Koperasi

Pada 17 Julai 2013 telah berlangsung program pelancaran Hari Koperasi SMK Seberang Jaya yang telah dirasmikan oleh En Ruzee Ramli, PK Kokurikulum SMK Seberang Jaya. Majlis telah diserikan dengan beberapa acara seperti sketsa, kuiz dan nyanyian beramai-ramai lagu koperasi.

Jul 11, 2013

Perjumpaan Waris

Perjumpaan waris bersama guru SMK Seberang Jaya telah berlangsung bertujuan untuk memaklumkan para waris tentang prestasi anak masing-masing di dalam pembelajaran semua matapelajaran. Program ini diadakan supaya menjadi penjana kecemerlangan pelajar melalui usahasama para ibubapa dan guru.

LDP - Maktab Sultan Ismail

Program lawatan ke Maktab Sultan Ismail di Kota Bharu, Kelantan telah diadakan oleh para guru SMK Seberang Jaya yang diketuai oleh Encik Ahmad Zaki Saad, PK Pentadbiran SMK Seberang Jaya. Lawatan ini adalah sebagai program LDP Guru dan Staf SMK Seberang Jaya dengan menjadikan Maktab Sultan Ismail sebagai penanda aras dalam beberapa faktor dalam mencapai kecemerlangan. Antaranya ialah pelaksanaan program pembangunan sahsiah pelajar, program peningkatan pembelajaran dan akitiviti kokurikulum serta pengurusan sekolah. Semoga dengan lawatan penanda aras ini dapat memberikan idea-idea yang baik kepada para guru dan staf SMK Seberang Jaya dalam bidang masing-masing dan seterusnya meningkatkan pencapaian sekolah.

Jun 27, 2013

Prasukan SMK Seberang Jaya 2013

Pada 25 hingga 26 Jun 2013 telah berlangsung Prasukan SMK Seberang Jaya bagi tahun 2013. Setakat ini jumlah mata yang telah dikumpul oleh setiap rumah sukan adalah seperti berikut.

Pulau Aman   - 891
Pulau Jerejak - 717
Pulau Kendi   - 717
Pulau Rimau   - 752

Pada hari sukan nanti, 28 Jun 2013 masih ada beberapa acara akhir yang akan menentukan johan keseluruhan. Oleh itu semua peserta menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk merebut Piala Johan Keseluruhan Sukan Tahunan SMK Seberang Jaya 2013.

Majulah Sukan Untuk SMK Seberang Jaya

Jun 23, 2013

Sukantara SMK Seberang Jaya 2013

Pada 18 hingga 19 Jun 2013 telah berlangsung Sukantara SMK Seberang Jaya bagi tahun 2013 bertujuan untuk mendapatkan mata awal bagi setiap rumah sukan dan juga melibatkan semua peserta dari setiap rumah sukan. Acara-acara yang dipertandingkan ialah lari 100m dan 400m dan lompat tinggi serta lontar peluru. Mata yang terkumpul akan diumumkan semasa perhimpunan mingguan.
Acara-acara yang dipertandingkan berjalan dengan lancar kerana komitmen para guru dan kerja sama yang diberikan oleh setiap pelajar dalam menjayakan Sukantara SMK Seberang Jaya 2013.

Syabas.............

May 29, 2013

Kelas Tambahan Minggu Pertama Cuti

Semua pelajar kelas peperiksaan PMR dan SPM diingatkan untuk hadir ke kelas tambahan yang  diadakan semasa cuti minggu pertama untuk cuti penggal pertama kali ini. Kehadiran adalah diwajibkan ke atas semua calon PMR dan SPM SMK Seberang Jaya. Kelas ini diadakan untuk meningkatkan prestasi pelajar yang menjadi calon peperiksaan bagi tahun ini dan seterusnya meningkatkan prestasi SMK Seberang Jaya.

Cuti Penggal Pertama

Cuti yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar serta warga pendidik SMK Seberang Jaya telah pun tiba setelah menempuh sesi PdP yang lama dan perlukan masa untuk merehatkan minda. Apapun selamat bercuti dan jaga diri sepanjang percutian ini. Berehatlah secukupnya sebelum memasuki penggal kedua persekolahan.

May 15, 2013

Kejohanan Bola Baling MSSPP 2013

Kejohanan Bola Baling MSSPP bagi tahun 2013 telah berlangsung di Kompleks Sukan Safira Seberang Jaya. Pasukan bola baling SMK Seberang Jaya bagi kelas 18 TKB dan 15 TKB lelaki telah mengharumkan nama SMK Seberang Jaya dengan menjadi Johan. Pencapaian yang membanggakan ini dapat mencetuskan inspirasi kepada semua pelajar SMK Seberang Jaya.

Tahniah kepada pasukan bola baling SMK Seberang Jaya di atas pencapaian yang membanggakan ini.

Kemasukan Pelajar Pra U Baharu

Selamat datang diucapkan kepada semua Pelajar Pra U Baharu SMK Seberang Jaya bagi tahun 2013. Semua pelajar datang dari beberapa sekolah di sekitar Seberang Jaya dan kini menjadi warga baharu SMK Seberang Jaya. Pada hari ini selesailah sudah minggu orientasi dilalui oleh mereka yang mana melibatkan aktiviti-aktiviti penerangan pakej subjek yang ditawarkan, potensi kerjaya dan pendidikan serta pelbagai lagi. Selain dari itu, mereka juga didedahkan dengan aspirasi SMK Seberang Jaya dalam menghasilkan pelajar yang berjaya melalui perancangan yang teliti seperti yang termaktub dalam misi dan visi SMK Seberang Jaya. Semoga kumpulan Pra U baharu ini mampu mencapai tahap yang membanggakan. Akhir sekali Selamat Menjadi Warga SMK Seberang Jaya......

Apr 24, 2013

Hari Kokurikulum SMK Seberang Jaya

Hari Kokurikulum SMK Seberang Jaya akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh : 27 April 2013 (Sabtu)
Masa   : 8.00 pagi hingga 2.00 ptg
Tempat : Perkarangan Hadapan SMK Seberang Jaya

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program.

* Antara acara yang akan diadakan adalah seperti berikut:
  1. Pertandingan Kawad Kaki - 24 April 2013
  2. Pertandingan Membuat Mini Gajet - 24 April 2013
  3. Pertandingan Memasak - 24 April 2013
  4. Jualan - 27 April 2013

Pelancaran minggu sains dan matematik

Pada 22 april 2013 berlangsung Majlis Pelancaran Minggu Sains dan Matematik SMK Seberang Jaya. Program ini dijalankan oleh Panitia Sains dan Matematik bertujuan untuk memupuk semangat dan minat pelajar terhadap matapelajaran sains dan matematik. Antara aktiviti yang dijalankan ialah acara kuiz sains dan matematik, payung terjun mini, dan roket air. Melalui program ini diharap mampu meningkatkan prestasi pelajar di dalam peperiksaan akan datang.

Apr 13, 2013

Makluman Penglibatan Pelajar Dalam Kes Buli

Pada 10 Apr 2013 satu berita telah tersebar dengan meluas yang menyatakan bahawa pelajar SM Seberang Jaya telah terlibat dalam kes buli seperti yang tersiar di dalam media massa. Kejadian sebenar telah berlaku di sekolah yang juga terletak di Bandar Seberang Jaya. Oleh itu orang ramai di sekitar Bandar Seberang Jaya agar sedia maklum dengan kejadian yang telah berlaku. Semoga kejadian kes buli seperti yang telah dilakukan oleh pelajar-pelajar terbabit tidak berlaku di SMK Seberang Jaya.

Pertandingan Pidato Pra U Kelompok M8

Pada 11 Apr 2013, SMK Seberang Jaya telah menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Pidato Pra U Kelompok M8.

Mar 23, 2013

STPM dan SPM 2012

Pada minggu ini, keputusan STPM dan SPM telah diumumkan di seluruh Malaysia yang menunjukkan peningkatan. SMK Seberang Jaya turut mengadakan majlis penyampaian slip keputusan kepada semua calon STPM dan SPM tersebut. Majlis dimulakan dengan ucapan Puan Balkhis Abdul Rahim, Pengetua SMK Seberang Jaya kepada semua calon yang hadir mengambil slip keputusan masing-masing pada hari tersebut. Ucapan tahniah disampaikan kepada yang berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Mar 13, 2013

Sukan Bola Jaring Zon Permatang Pauh

Pada hari 12 Mac 2013, berlangsung majlis penyampaian pingat bagi Kejohanan Sukan Bola Jaring Zon Permatang Pauh di padang SMK Seberang Jaya. Kejohanan ini dikelolakan oleh SMK Seberang Jaya selama dua hari dan penyertaan melibatkan 15 sekolah menengah bagi Zon Permatang Pauh peringkat 18TKB dan 15 TKB. Penyampaian pingat kepada pemenang disempurnakan oleh Puan Balkhis, Pengetua SMK Seberang Jaya dan Encik Nazari, Pegawai Prosa SMK Seberang Jaya dari PPD Tengah.

Mar 7, 2013

Pelancaran Program Mentor Mentee SMK Seberang Jaya

Pada hari ini 7 Mac 2013 berlangsung majlis Pelancaran Program Mentor Mentee dan Program NILAM SMK Seberang Jaya yang akan dijalankan khusus untuk semua pelajar pada tahun ini. Progam Mentor Mentee ini disediakan untuk calon PMR dan SPM tahun ini agar menjadi pemangkin kepada semua calon untuk siap siaga menjelang peperiksaan yang bakal tiba. Manakala program NILAM pula diadakan untuk pelajar-pelajar yang tidak ada peperiksaan utama pada tahun ini. Program NILAM ini diadakan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pembacaan buku dan seterusnya mendapat anugerah cemerlang NILAM bagi SMK Seberang Jaya.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa bagi memberkati program yang akan dijalankan sepanjang tahun ini. Kemudian ucapan penerangan tentang Program Mentor Mentee disampaikan oleh En Ahmad Zaki, PK Pentadbiran SMK Seberang Jaya. Program ini akan dijalankan pada setiap waktu pertama hari Khamis. Akhir sekali ucapan perasmian program disampaikan oleh Puan Balkis, Pengetua SMK Seberang Jaya.

Mar 6, 2013

Majlis Pelancaran Kempen Ponteng Sifar II dan Ceramah Kesedaran Keselamatan Jalan Raya

Pada hari 6 Mac 2013 berlangsung Majlis Pelancaran Kempen Sifar II "Jom Pakat Ramai-Ramai Mai Sekolah" dan Ceramah Kesedaran Jalan Raya tahun 2013. Matlamat program ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran pelajar untuk hadir setiap hari ke sekolah dan menjaga keselamatan diri semasa di jalan raya.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diteruskan dengan ucapan aluan oleh Puan Balkhis Abdul Rahim, Pengetua SMK Seberang Jaya. Kemudian ucapan perasmian disampaikan oleh DSP Mano, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, IPD Bandar Baru Perda. DSP Mano ada menyentuh tentang kepentingan untuk hadir ke sekolah dan menjaga keselamatan di jalan raya terutama yang menunggang motosikal ke sekolah. Seterusnya perasmian bagi kempen tersebut dilakukan oleh DSP Mano melalui  gimik perasmian dan disaksikan oleh warga SMK Seberang Jaya.

Mar 3, 2013

Pelancaran Bulan Bahasa

Pada 27 Feb 2013 berlangsung majlis Pelancaran Bulan Bahasa peringkat SMK Seberang Jaya

Majlis Persaraan Encik Wong Thean Siew

Pada pagi 27 Feb 2013 berlangsung majlis persaraan En Wong Thean Siew atau lebih dikenali dengan gelaran Sir Wong di SMK Seberang Jaya. Majlis diadakan bagi meraikan hari terakhir Sir Wong sebelum bersara penuh dalam perkhidmatan sebagai seorang guru. Acara dimulakan dengan ucapan Puan Balkhis, Pengetua SMK Seberang Jaya, wakil pelajar dan ucapan terakhir Sir Wong selepas 23 tahun berkhidmat di SMK Seberang Jaya. Banyak jasa telah diberikan oleh Sir Wong dalam perkhidmatan beliau terhadap pembangunan pelajar khususnya dalam pengajaran Bahasa Inggeris.
Pada waktu tengahari berlangsung pula acara perarakan keluar Sir Wong untuk kali terakhir di SMK Seberang Jaya. Majlis dimulakan dengan cetakan terakhir "punch card" Sir Wong dan turut disaksikan oleh semua pentadbir sekolah. Kemudian perarakan keluar Sir Wong diiringi oleh semua pentadbir dari pejabat hingga ke pintu keluar SMK Seberang Jaya sebelum dibawa pergi dengan motor kuasa besar yang ditunggang oleh Cikgu Zulkhairi. Maka pada saat itulah buat kali terakhir semua pelajar melihat Sir Wong sebagai pendidik untuk SMK Seberang Jaya.

"Kita akan merasai kehilangan En Wong Thean Siew, semoga En Wong bahagia selepad persaraan"

Feb 10, 2013

Selamat Tahun Baru Cina

Selamat Tahun Baru Cina diucapkan kepada semua warga SMK Seberang Jaya dan semua masyarakat Cina yang menyambutnya pada tahun ini. Semoga sambutan tahun ini lebih meriah dan rezeki bertambah serta semua urusan menjadi mudah.


Feb 5, 2013

Pelancaran Program Anti Dadah

Pada 4 Februari 2013 berlangsung pelancaran Program Anti Dadah peringkat SMK Seberang Jaya. Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengetua SMK Seberang Jaya, Puan Balkhis binti Abdul Rahim dengan gimik memadam replika api rokok. Melalui program anti dadah ini diharap semua warga SMK Seberang Jaya tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Dadah antara yang menjadi musuh nombor satu negara                               

Feb 1, 2013

Program Ceramah Sempena Maulidur Rasul

Pada hari ini, 1 Februari 2013 berlangsung Program Ceramah Sempena Maulidur Rasul peringkat SMK Seberang Jaya. Program ini diadakan oleh Panitia Pengajian Islam bertujuan untuk memupuk semangat cinta akan Nabi Muhammad SAW dalam diri semua warga pelajar dan guru SMK Seberang Jaya. Melalui program ini juga diharap Rasul menjadi ikon utama dalam kehidupan semua warga SMK Seberang Jaya.

Jan 9, 2013

Program Orientasi Pelajar Baru 2013

Pada hari ini, 9 Januari 2013, bermula Program Orientasi Pelajar Baru Tingkatan 1 dan Peralihan di Dewan Seroja SMK Seberang Jaya. Program ini diadakan untuk pelajar baru agar mereka dapat mengenali SMK Seberang Jaya dengan lebih dekat lagi. Antara pengisian yang diberikan adalah mengenai profil SMK Seberang Jaya, proses P&P, PBS dan taklimat motivasi.

Pelancaran Program Guru Penyayang

Pada 7 Januari 2013 yang lalu telah berlangsung majlis pelancaran Program Guru Penyayang peringkat SMK Seberang Jaya. Program ini bertujuan memupuk sikap guru agar menjadi seorang yang ambil peduli akan hal para murid di sekolah. Sehubungan dengan sikap itu, diharap menjadi dorongan kepada para murid untuk meningkat diri ke arah kecemerlangan diri dan seterusnya menaikkan status sekolah.

Jan 2, 2013

Orientasi Tingkatan 4

Pada hari ini, 2 Januari 2013 bermula Program Orientasi Tingkatan 4 SMK Seberang Jaya di Bilik Seroja dan akan tamat pada 4 Januari 2012. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi penerangan ringkas mengenai pakej-pakej jurusan yang ditawarkan di SMK Seberang Jaya. Antaranya ialah pakej kelas Sains, Perakaunan, Teknologi Maklumat dan MPV.

Selamat Kembali Ke Sekolah

Selamat kembali ke sesi persekolahan 2013 kepada semua warga SMK Seberang Jaya. Kita mulakan sesi kali ini dengan azam yang tinggi untuk meningkatkan prestasi diri dan SMK Seberang Jaya seluruhnya. Prestasi ini merangkumi guru dan murid dalam kegiatan kurikulum di dalam bilik darjah serta aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah. Semoga tahun ini SMK Seberang Jaya lebih menyinar dalam mencapai kegemilangan dalam apa jua bidang yang disertai.

Jan 1, 2013

Selamat Tahun Baru 2013

Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua warga SMK Seberang Jaya. Jadikan tahun-tahun yang lalu sebagai pengalaman dalam menghadapi cabaran yang mendatang. Semoga tahun baru ini menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya. Tingkatkan usaha dan tanamkan tekad untuk mencapai kejayaan dalam apa jua lapangan yang ditempuhi.